Ok, kalau kita sebut manusia zaman silam, apakah yang anda fikir? Kolot, mundur, hidup dalam gua? Macam-macam gambaran primitif mungkin akan terfikir dalam kepala kita tanpa terfikir tentang samada zaman dahulu mungkin lebih maju atau lebih bertamadun dari apa yang kita sangka. Disini saya ingin ingin berkongsi dengan anda semua tentang kehebatan arkitek masa lampau. Terdapat banyak monumen-monumen tinggalan sejarah yang membuktikan bahawa pada masa lampau adalah lebih bertamadun dan maju dari apa yang kita sangka. Contohnya ialah Newgrange.
Pemakaman yang terletak berhampiran Dublin ini disepakati telah dibina sekitar 3,200 BC. Newgrange sememangnya telah usang sebelum kewujudan peradaban Mesir, dan sebelum kelahiran tamadun Babylon dan Cretan. Ia juga adalah lebih lama dari binaan stonehenge. Kajian menunjukkan bahawa Newgrange bukan sahaja sebuah kawasan perkuburan, tetapi para pekerjanya mempunyai pengetahuan mendalam tentang astronomi – dan memiliki teknik kejuruteraan serta ilmu senibina yang perlu diberi perhatian.
Ramai ahli arkeologi menghuraikan Newgrange sebagai keajaiban teknikal. Sebagai contoh, kubah di atas struktur itu sememangnya adalah kehebatan kejuruteraan. Setiap batu yang berat di bahagian bawah dan ringan di sebelah atas dengan cermat diletakkan saling bertindih sehingga setiap satunya lebih menonjol daripada yang di bawah. Maka terbinalah satu cerobong berbentuk heksagon dengan ketinggian enam meter di atas bahagian tengah struktur itu. Di atas cerobong itu terdapat penutup yang diperbuat daripada batu yang boleh dibuka dan ditutup bila perlu.
Jelas bahawa binaan gergasi ini dibina oleh mereka yang mempunyai pemahaman mendalam tentang kejuruteraan, mampu mengira dengan tepat, merancang dengan betul, mengangkut beban batuan yang berat, dan memanfaat ilmu pembinaan mereka. Tetapi amat mustahil untuk monumen sebesar itu didirikan oleh golongan yang tiada pengetahuan yang baik dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan.
Ciri-ciri astronomi bangunan itu sendiri sungguh mengagumkan. Pembinaan struktur ini membenarkan biasan cahaya yang menarik pada musim sejuk. Sebaik saja matahari muncul pada hari terpendek dalam setiap tahun, sinaran cahaya matahari menerangi ruang pemakaman Newgrange. Di saat ini, berlakulah permainan cahaya yang sempurna. Sinaran matahari pagi menembusi bukaan kecil di bawah bumbung pintu masuk dan menyinari laluan ke ruangan dalamannya. Semua blok batuan diletak pada sudut yang membenarkan pembiasan cahaya – satu faktor penting yang memungkinkan berlakunya semua pertunjukan cahaya ini.
Dengan melihat pada struktur ini saja, anda dapat menyimpulkan bahawa ianya didirikan oleh golongan yang mempunyai pengetahuan mendalam serta menggunakan cara dan teknik yang amat canggih. Masyarakat yang membina struktur ini pastinya telah hidup dalam persekitaran yang selesa dan penuh tamadun. Jika mereka mempunyai pengetahuan astronomi dan kemahiran yang baik untuk membuat pemerhatian dengan tepat, kehidupan seharian juga pasti bertamadun selari dengan perkembangan pengetahuan mereka. Monumen batuan ini mungkin satu-satunya bangunan yang kekal daripada masyarakat yang hidup dalam rumah yang selesa, mempunyai taman-taman yang diselenggara dengan baik, menerima rawatan di hospital yang bagus, terlibat dengan aktiviti ekonomi, menghargai seni dan sastera serta menikmati warisan budaya yang luas lagi penting. Semua tafsiran realistik berkenaan pembina monumen batuan ini adalah berdasarkan penemuan arkeologi dan fakta sejarah.
Nampaknya, kehidupan masa lampau tidaklah kelihatan agak primitif seperti yang kita fikirkan. Agaknya, bagaimanakah manusia dahulu hidup? Adakah lebih maju dari kita? Wallahua’lam.
Terdapat banyak lagi binaan-binaan yang menunjukkan bahawa pada satu masa dahulu mempunyai teknologi yang canggih dan bertamadun dari apa yang kita sangka akan dibincangkan kemudian. Semoga ilmu dan maklumat yang disampaikan ini berguna kepada pembaca sekalian, insyaallah.
No comments:
Post a Comment