Thursday, November 10, 2011

Supermokh Lagenda Bola Sepak Negara


SALUTE TO THE LEGEND!!!




Tanggal  11 Julai 1991, kini genaplah 20 tahun pemergian Lagenda Bola Sepak negara kita , Allahyarham Mokhtar Dahari yang juga dikenali dengan gelaran Supermokh. Beliau banyak mengharumkan nama Malaysia dalam arena sukan bolasepak di rantau Asia khususnya dan peringkat dunia amnya dengan kelincahan dan kepantasannya sebagai seorang penyerang yang amat berbisa dan digeruni oleh barisan pertahanan lawan.





Supermokh dengan gaya ala-ala kung fu nya




Mokhtar Dahari dan Diego Maradona



Jadi marilah kita sama-sama menyingkap beberapa fakta yang menarik mengenai Supermokh ini agar kita dapat lebih mengenang dan menghargai jasa-jasa beliau semasa hayatnya.     


1. Dikatakan tiga batang jari mendiang R Arumungam, bekas penjaga gol negara pernah patah ketika cuba menampan satu sepakan kencang Supermokh ketika dalam satu sesi latihan.

2. Ketika berusia 23 tahun, Mokhtar Dahari telah diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976.


3. Mokhtar Dahari tidak suka diganggu ketika menjalani sesi latihan apatah lagi mengaitkan kemasyhuran dirinya di padang dengan kehidupan peribadi.


4. Selepas tamat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1968 , Mokhtar Dahari dihadiahkan sepasang but bola hanya berharga RM15 oleh ayahnya dan dia amat menghargai pemberian itu sambil berkata "Kasut but yang diberi oleh ayah saya mungkin hanya berharga RM15, tetapi ia amat bermakna dalam kerjaya bola sepak saya".


5. Perlawanan pertamanya ketika mewakili Selangor dalam Pertandingan Piala Burnley 1971 menentang Kedah dan menjaringkan gol pertamanya pada perlawanan itu.


6. Pertama kali terpilih mewakili pasukan kebangsaan ketika Kejohanan Piala Jakartaraya 1972.


7. Pernah menjaringkan gol terbanyak (5 gol) dalam satu perlawanan 1974 antarabangsa ketika menentang Filipina di Sukan Asia 1974 di Teheran.


8. Mokhtar Dahari menjaringkan 2 gol untuk kemenangan pasukan Malaysia yang menundukkan gergasi kelab Inggeris , Arsenal dalam satu perlawanan persahabatan pada tahun 1975 di Stadium Merdeka Kuala Lumpur dan keesokkan harinya khabar angin mengatakan bahawa the Gunners berminat untuk membeli beliau ketika itu.

9. Mokhtar menjaringkan 1 gol yang membawa negara meraih pingat emas Sukan SEA yang pertama pada tahun 1977 apabila menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan akhir. 


10. Gerakan menarik beliau yang menggelecek 5 pemain England dan menjaringkan gol penyamaan dalam satu perlawanan persahabatan antara Malaysia dan England  pada tahun 1978 telah menyebabkan jurulatih England ketika itu , Bobby Robson berang dengan anak-anak buahnya.
   
11. Mokhtar Dahari menerima kad merah pertama dan terakhirnya dalam karier bolasepaknya ketika menentang Singapura dalam saingan Piala Malaysia pada tahun 1981. Pengadil 'bersejarah' yang menghadiahkan kad merah itu ialah Othman Omar.                                                                                             

12. Kali terakhir mewakili negara pada Pra-Kelayakkan Piala Dunia menentang Korea Selatan di Seoul tahun 1985.

13. Dengan kaps antarabangsanya sebanyak 167 caps, dan jumlah gol dalam Piala Malaysia ialah 177 jaringan dan 125 jaringan di peringkat antarabangsa membuatkan tiada lagi pemain yang dapat menyaingi rekodnya sehingga kini.

14. Khabar angin mula-mula bertiup pada tahun 1987 mengatakan Mokhtar Dahari menghidap sejenis penyakit 'ganjil' sebelum beliau disahkan mengidap penyakit Mascular Dystrophy pada tahun 1989. Beliau meninggal dunia pada hari Khamis, 11 Julai 1991 jam 8.25 pagi di Pusat Perubatan Subang meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak. 

15. Mendapat anugerah Darjah Dato' Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A), dari Sultan Selangor yang membawa gelaran Dato' pada tahun 2001 iaitu sepuluh tahun selepas  kematiannya.


Tetapi itu semuanya kini hanya tinggal sebagai kenangan yang ada dalam lipatan sejarah. Namun nama Mokhtar Dahari masih tetap segar dan diingati terutamanya kepada mereka yang pernah melihat ketangkasan dan kehebatannya di era 80-an. 

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. 

Amin.







3 comments:

  1. http://www.youtube.com/watch?v=rwMFEuZR36k

    ReplyDelete
  2. no.10 is not mgelecek 5 england players.

    watch this http://www.youtube.com/watch?v=dA9pthMdzLA

    it is a long range shot. (^_^)

    ReplyDelete